ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor hari ini bersetuju untuk memberikan peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setahun
kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang.

Peruntukan yang akan mula diagihkan kepada kesemua 56 ADUN pada tahun hadapan boleh digunakan bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serta bantuan peruntukan kerja kecil di kawasan mereka.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 di sini, pada Khamis.


"Bagi memastikan prinsip dan semangat pendemokrasian Yang Berhormat Ahli-ahli DUN Johor memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kerajaan negeri Johor bersetuju semua Yang Berhomat akan menerima peruntukan tetap sebanyak RM200,000 setiap tahun," kata Hasni.

Jumlah peruntukan terbaharu yang diumumkan Menteri Besar itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM50,000 berbanding RM150,000 yang diagihkan tahun ini.

Dalam masa sama, kerajaan Johor juga bersetuju menyalurkan suntikan tambahan berjumlah RM50,000 kepada setiap ADUN bagi tujuan pembiayaan acara sempena perayaan-perayaan besar
seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan lain-lain.

Menurut Hasni, peruntukan itu diharapkan dapat membantu setiap adun yang bertugas sebagai wakil rakyat dalam menangani cabaran masa hadapan.